Assalamualaikum.
Dunia hari ini menyaksikan begitu banyak kezaliman yang semakin hari semakin tak terkawal.Baik yang paling berkuasa mahupun yang biasa-biasa,kesemuanya bagaikan meredhai sahaja kefasadan yang terjadi ini.
Tak perlulah disenaraikan kezaliman apakah yang terjadi kerana ia tetap tak akan menguranginya dan semua orang pun sudah maklum kezaliman yang bagaimanakah sedang terjadi.Kita kini sedang hidup di atas bumi yang didiami oleh zombi,manusia yang tak punya hati lagi.Mungkin ada,tapi sudah mati dan sama sekali tak berfungsi.
Bukanlah tak ditemui apa-apa solusi pun kepada permasalahan global ini,tetapi bila mana deretan senarai solusi hanya tinggal sebagai teori.Mengapa?Telah pun dinyatakan di atas tadi.
Apabila zombi yang mengepalai diskusi mencari solusi kepada permasalahan yang dilakukan oleh zombi yang lain pula.Bodoh.Benar-benar satu drama.Sebanyak-banyak episod drama Korea sekalipun,biarlah menjangkau 400 episod,sekurang-kurangnya kita tahu episod yang ke 400 itulah penghujungnya.Dan saya berani mengatakan kalau drama dunia ini memang tak akan ada kesudahannya selagimana bumi ini terus didiami oleh zombi!
Bertambah malang lagi apabila ada yang menyedari situasi parah ini,namun terus memilih untuk menjadi pemerhati yang kononnya pintar.Hebat memberikan komentar,dipatahkan segala hujah-hujah dan fakta yang dilihat songsang,segala analisa diperincikan dengan begitu teliti.Tapi,semua itu hanya berlaku di restoran mamak dan warung kopi.Bak perwira,tapi perwira yang kuasanya terbatas hingga ke restoran mamak sahaja.Siapa yang berani bersuara?Tak ada.
Kita hidup dalam masyarakat yang "issue-oriented",Timbul sahaja satu-satu isu,masing-masing mula ligat berfikir dan mengeluarkan butir-butir idea yang mungkin hanya diri sendiri sahaja yang merasakannya bernas.Masing-masing hendak dilihat hebat.Selepas itu berbalah.Kemudian senyap.Beralih kepada isu yang terbaru pula,tetap sama jadinya.Bodoh.
Silapnya kita,inilah dia.Yang puak zombi itu biarlah mereka dengan kezombian mereka.Lihat pada kita yang katanya menyedari situasi sebenar ini.Mengapa saya katakan mahasiswa hari ini tidak berkualiti?
Yang pertama,kita tak menemukan 'right channel' untuk menghentikan kezaliman ini.Bravo kepada yang giat membaca dan rajin mengikuti forum untuk lebih memahami tentang sesebuah isu.Namun anda masih lagi berada di tahap dungu jika segala input yang anda ada hanyalah digunakan sebagai modal bersembang harian yang tak menampakkan kesan.Anda tak perlu bersusah payah merelakan diri untuk dipenjarakan hanya untuk bersuara.Tapi cukup dengan belajar bersungguh-sungguh,dapatkan pekerjaan yang terbaik dan jadi 'someone' dalam masyarakat.Gunakan kuasa anda untuk memulihkan segalanya.
Yang kedua,kita ini lalang yang tak berprinsip.Ilmu dan pengkajian itu ada,tapi tiada pendirian sendiri.Terlalu mudah untuk diracuni pemikiran.Jolok sikit,terus berubah pendapat kita.Salah satu puncanya adalah sistem pendidikan negara kita itu sendiri yang membuatkan para pelajar menjadi pengecut.Tak mampu untuk berfikir secara lebih kritis dan matang (out of the box apatah lagi!).Semuanya terlalu bergantung pada apa yang tertulis di dalam buku dan terlalu mengikut skema.Ruang lingkup pemikiran kita menjadi terbatas kerana dibataskan!Kita sudah kekurangan golongan pemikir,dan ini sangat bahaya.Kita lebih gemar menantikan keputusan daripada orang lain,sebab?Tiada kemahiran untuk membuat keputusan!Harus berapa lama lagikah kita perlu dipimpin oleh zombi?
Yang ketiga,kurangnya orang-orang yang berani terhadap risiko dan cabaran.Kita lebih cenderung untuk mengelakkan terus diri daripada risiko kerana menyangka itu merupakan langkah selamat atau 'play safe'.Cara fikir yang begini seharusnya kita ubah.Tak semua risiko itu membinasakan,bahkan ianya membentuk figura-figura yang berani.Acapkali kita ulang bahawa kita belajar dari kesilapan.Tapi itu semua bohong.Kita semua mengelak terus daripada melakukan kesilapan tanpa kita tahu ada satu nilai besar yang bakal kita pelajari melalui kesilapan itu.Memang benar sebaiknya kita cuba untuk elakkan kesilapan.Tapi jangan dilupa,jika kita melakukan kesilapan,kita akan lebih tahu betapa besarnya nilai kehidupan.Jika tidak,kita masih lagi dalam ruang lingkup skema jawapan itu.Tak terbuka dan mengembang minda kita.Kemudian jadi zombi.
Analoginya begini,saya buat soalan matematik dan saya ada salah.Kawan saya betul semua.Kemudian saya berjumpa dengan cikgu untuk mengetahui jalan kira yang sebenar.Pasti cikgu akan tunjukkan beberapa cara untuk mendapatkan jawapan yang semestinya bukan satu cara sahaja.Tapi yang dapat betul semua itu,hanya satu cara itulah yang dia tahu.Siapa yang lebih untung sebenarnya?
Yang keempat merangkap yang terakhir,(banyak lagi sebenarnya cuma takkan aku nak tulis semua.cuba jadi pemikir skit!)kita kekurangan pemuda ataupun mahasiswa yang merasai kepentingan hidup berTuhan.Kita mampu berdebat dengan baik,mampu mendapat keputusan peperiksaan yang cemerlang,mempunyai bakat dan kebolehan yang wajar diketengahkan.Namun semua itu hanya menjadi sia-sia apabila kita betul-betul hidup di atas kaki sendiri,tidak bersandar pada Tuhan.Kadangkala kita rasa sudah cukup matang untuk bergantung sepenuhnya pada diri sendiri,tanpa kita ingat bahawa pencipta lebih tahu tentang apa yang diciptakanNya.
Pasti kita rasa aneh,jadual harian sebagai seorang mahasiswa begitu padat sekali.Sehinggakan terpaksa mengorbankan hujung minggu kita untuk menampung masa yang tak mencukupi,tapi masih terasa kosong.Saya cukup yakin,dengan merasakan kekosongan itu,kita sebenarnya sudah tahu apa yang patut dilakukan,apa yang mampu mengisi.Tapi hawa nafsu yang terus menafikan dan kita terus berpura-pura mencari jawapan yang lain.
Kita mampu meluangkan masa berjam-jam untuk menghabiskan buku kuliah kita,berjam-jam menghabiskan bacaan buku-buku ilmiah untuk membentuk pemikiran yang matang terhadap masa depan negara.Tapi kita berkira 5 minit kita untuk Tuhan,untuk dibaca al-quran yang relevannya hingga ke hari kiamat.Kita begitu cakna tentang isu negara kita,itu bagus.Tapi kita perlu cakna juga tentang masa depan kita di sana.Kita berkira untuk meluangkan seminit selepas solat untuk berdoa.Sedangkan yang paling berkuasa ke atas segala-galanya adalah Dia.Dan tak mustahil sama sekali untuk Dia mengubah segala kebejatan yang terjadi kepada yang sebaliknya,hanya jika kita meyakini kuasa doa.Kita sebenarnya kekurangan orang-orang yang berdoa.Kerana itulah segala diskusi yang rancak diadakan meskipun dikatakan berilmiah dan sihat,hakikatnya masih lagi menjadi satu diskusi bodoh.Kerana barakah daripada Tuhan itu tiada.
Itu sahaja daripada aku.Mohon maaf atas penggunaan kata yang mungkin agak kasar.Bagi feel skit la.
Yang lebih tahu tetap juga yang di atas sana.Semoga kita terus dilimpahkan rahmatNya.
Wallahua'lam.
Haifa Khalysaa.
Kaherah.
No comments:
Post a Comment